Perdana Menteri berkata, ini secara langsung akan mengubah pasaran buruh negara di mana menjadi keutamaan kerajaan untuk memastikan lebih banyak pekerjaan berkemahiran tinggi yang menawarkan gaji lumayan dapat diwujudkan.

Katanya, ia juga secara tidak langsung akan mengurangkan kebergantungan negara kepada tenaga kerja asing.

"Kerajaan akan terus berusaha meningkatkan keupayaan belia Malaysia dalam TVET bagi memastikan keperluan industri berteknologi tinggi akan dipenuhi oleh warga kerja tempatan.

"Ini bersesuaian dengan usaha-usaha kita untuk menarik pelaburan berkualiti tinggi ke negara ini," katanya ketika menyampaikan ucaptama sempena Majlis Penutup Persidangan TVET 2019 bertemakan 'Human Capital Development to Enhance Future Skills Agenda di Hotel Marriot Putrajaya di sini hari ini.

Mahathir berkata, negara memerlukan institusi TVET yang lebih fleksibel dengan ketersediaan institusi TVET melalui proses perekayasaan (re-engineering) silibus dan kurikulum TVET, tenaga pengajar yang kompeten malah infrastruktur itu sendiri dalam mendepani cabaran tersebut.

Menurutnya, oleh itu, pemain-pemain utama TVET dan industri disarankan untuk memanfaatkan Industri Forward dalam meningkatkan keupayaan dan daya saing masing-masing dengan bersedia mengharungi cabaran baharu itu agar mana-mana golongan masyarakat tidak terpinggir.

"Pasaran kerja pada masa hadapan akan dipenuhi dengan tenaga kerja berkemahiran tinggi, kreatif dan mempunyai pemikiran kritis. Deskripsi dan skop pekerjaan pada masa akan datang akan mengalami perubahan yang signifikan.

"Future workers perlu memastikan mereka sentiasa melengkapkan diri mereka dengan kemahiran terkini berdasarkan kepada keperluan industri masa hadapan," katanya. -K! ONLINE