Beliau berkata, pokok kelapa sawit dan getah datang dari negara asing tetapi dibangunkan di Malaysia untuk menjadi komoditi eksport utama negara. 

"Penyelidikan boleh menghasilkan lebih banyak tanaman malahan lebih banyak penggunaan bagi tanaman lain yang kita boleh tanam di negara ini," katanya pada pelancaran Persidangan dan Pameran Sarung Tangan Getah Antarabangsa Kesembilan (IRGCE  2018) di sini hari ini.

Turut hadir ialah Menteri Industri Utama, Teresa Kok Suh Sim.

Mahathir berkata, Malaysia telah membangunkan perladangan sawit dan getah menerusi kaedah yang tidak didapati di kebanyakan negara lain. 

"Bagaimana cara tanaman ini diurus dan dieksploitasikan itulah yang diambil kira. Lebih banyak idea bagaimana untuk mengeksploitasikan semua produk ini, lebih baik bagi kita dan lebih banyak wang yang kita boleh peroleh," katanya.

Beliau juga optimistik industri getah akan terus berkembang disokong oleh penyelidikan dan pembangunan (R&D) meskipun dominasi oleh industri minyak sawit. 

"Kita telah membangunkan banyak teknik penorehan getah dan menanam klon yang memberikan kita hasil lebih baik. Varian terkini pokok getah juga menghasilkan lebih banyak susu getah walaupun saiznya lebih kecil berbanding varian sebelumnya," katanya. 

Perdana Menteri berkata, penyelidikan dan pembangunan juga membantu mewujudkan produk baharu seperti sarung tangan getah dan perabot daripada kayu getah bagi memastikan kesinambungan industri getah. - Bernama