Duta Malaysia ke China Datuk Zainuddin Yahya berkata para pemimpin China amat teruja dengan kedatangan Perdana Menteri Malaysia itu.

Lawatan diadakan ketika Kuala Lumpur mengeluarkan kenyataan keras akhir-akhir ini, khususnya mengenai projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan Saluran Paip GasTrans-Sabah (TSGP). 

"Mereka menunggu-nunggu dan teruja akan kedatangan Tun Dr Mahathir, setakat ini tiada maklum balas rasmi daripada China mengenai perkara itu," katanya kepada wartawan Malaysia di sini pada Jumaat.

Kedua-dua projek, terutama ECRL yang bernilai RM81 bilion mendapat perhatian apabila kerajaan Malaysia merasakan projek mega yang diluluskan oleh kerajaan terdahulu, antaranya telah membebankan negara dan rakyat dengan hutang yang besar, selain membayangkan bahawa projek-projek itu akan dibatalkan.

"Kita patut melihat kepada potensinya, bukan kepada isu-isunya sahaja," kata Zainuddin.

Katanya terdapat potensi besar yang boleh diraih daripada hubungan Kuala Lumpur-Beijing dengan kemajuan sains, teknologi dan inovasi, memandangkan China adalah ekonomi kedua terbesar dunia selepas Amerika Syarikat.

"Kita patut merebut peluang-peluang daripada lawatan ini untuk menarik pelaburan bermutu tinggi kerana negara (Malaysia) sedang berusaha mencapai tahap negara maju," kata beliau.

Katanya Malaysia juga berharap dapat mengeksport buah durian ke China yang akan memberi manfaat kepada petani di Malaysia.

China adalah rakan dagangan terbesar Malaysia bagi tempoh sembilan tahun berturut-turut dengan jumlah dagangan sebanyak US$ 96.5 bilion (kira-kira RM386 bilion)  pada tahun lepas, yang merupakan kenaikan sembilan peratus berbanding pada 2016.

Jumlah dagangan antara kedua-dua negara antara Januari dan Julai tahun ini dicatat pada US$61 bilion (RM244 bilion), meningkat 17 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lepas.

Mahathir diiringi isterinya Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali dan enam menteri - Datuk Saifuddin Abdullah (Menteri Luar), Teresa Kok (Perusahaan Utama), Darell Leiking (Perdagangan Antarabangsa dan Industri), Datuk Salahuddin Ayub (Pertanian dan Industri Asas Tani), Datuk Liew Vui Keong (Menteri di Jabatan Perdana Menteri) dan Mohd Redzuan Md Yusof (Pembangunan Usahawan). - Bernama