Dr. Mahathir berkata, Malaysia pada masa sekarang dalam kedudukan untuk bersaing dalam  acara dunia, dan oleh itu berharap pertandingan taekwondo yang akan datang itu dapat membuahkan hasil dan kejayaan kepada negara.

"Kita mengetahui ramai rakyat Malaysia mencatatkan rekod dalam banyak aktiviti di peringkat dunia.

Kita tahu bagaimana rakyat Malaysia berlayar solo mengelilingi dunia, kita tahu rakyat Malaysia berjalan ke kutub Antartika dan banyak lagi pencapaian oleh rakyat Malaysia.

"Ini adalah sesuatu yang kita nantikan kerana ia dapat mengukuhkan diri anda sebagai ahli sukan yang bagus, dan selepas itu saya berpendapat barulah orang ramai akan tunjukkan hormat kepada negara ini," katanya.

Kejohanan CHITF akan diadakan di Melbourne, Australia pada 9 hingga 10 Mac.

Dalam ucapan selamat maju jaya kepada pasukan negara itu, Dr Mahathir berharap kontinjen Malaysia akan mampu menaikkan bendera kebangsaan berkibar tinggi sebagai pemenang.

Kontinjen Malaysia terdiri daripada 42 orang termasuk dewasa, pelajar bawah 13 tahun, veteran dan 12 kanak-kanak keperluan khas.

Yang turut hadir pada majlis penyerahan bendera itu ialah Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Presiden CHITF Malaysia, Mohd Khaldun Mohd Redza.

Sementara itu, Syed Saddiq berkata, ia suatu pendedahan baik kepada peserta kerana mereka mewakili negara ini dalam acara peringkat dunia.

"Kami juga ingin pastikan sukan taekwondo akan mara ke depan dan menjadi sukan yang inklusif sebab sebelum ni belum ada lagi kategori untuk special needs (keperluan khas).

"Kita harap IPC akan mengambil kira apa yang berlaku pada kejohanan itu dan selepas itu maybe in the future (mungkin pada masa hadapan) masukkan kategori keperluan khas dalam pasukan IPC," katanya.

Antara negara yang akan menyertai kejohanan itu ialah Russia, Kanada dan Perancis. - Bernama