Menyifatkan alasan sedemikian sebagai dangkal, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Abu Bakar Yahya tidak menolak kemungkinan alasan seumpama itu merupakan satu rekayasa untuk menyekat usaha kerajaan memelihara seni serta memartabatkan tulisan Jawi di negara ini menerusi pendidikan dan pembelajaran. 

"Seni khat dan tulisan Jawi merupakan antara asas sejarah peradaban negara ini yang mana penggunaannya dalam penulisan bahasa Melayu telah berfungsi sebagai 'lingua-franca' dalam bidang ilmu, ekonomi, diplomatik dan sebagainya seperti mana Bahasa Melayu kuno yang terdahulunya menggunakan tulisan Rencong. 

"Saya kira hanya orang buta sejarah dan perkauman sempit sahaja akan membantah usaha kerajaan untuk melaksanakan seni khat dan tulisan Jawi dalam pengajian Bahasa Melayu di sekolah kebangsaan. Saya yakin, ramai rakyat Malaysia daripada pelbagai kaum tidak ada masalah selain ingin mendalami seni khat dan tulisan Jawi seperti seni kaligrafi Cina dan India" katanya. 

Abu Bakar yang juga Setiausaha Politik Perdana Menteri itu mengulas kenyataan Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP, Prof. Dr. P. Ramasamy menerusi Facebooknya hari ini yang mensasarkan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik berhubung pelaksanaan seni khat dan tulisan Jawi dalam buku teks Bahasa Melayu di sekolah kebangsaan. 

Menurut Ramasamy, beliau sukar untuk mempercayai bahawa Perdana Menteri yang begitu moden dan mempunyai matlamat menjadikan Malaysia sebagai negara maju mahu memaksa penguatkuasaan pelaksanaan khat tanpa memahami akibatnya dalam masyarakat yang terbahagi dan pelbagai seperti di Malaysia.

Pada masa sama, Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang itu turut menyatakan tidak ada gunanya bercakap tentang Menteri Pendidikan yang bukan sahaja merosakkan kemasukan matrikulasi, tetapi telah menegur bukan Melayu kerana tidak memberikan peluang yang sama kepada orang Melayu dalam sektor swasta. 

Dalam pada itu, Abu Bakar mengingatkan Ramasamy supaya tidak keliru dengan pelaksanaan seni khat dan tulisan Jawi kerana asas pertuturannya adalah dalam Bahasa Melayu yang merupakan bahasa kebangsaan dalam Perlembagaan Persekutuan. 

"Bahasa Melayu sama ada ditulis dalam tulisan Jawi atau rumi merupakan bahasa perpaduan. Apa yang jadi masalah bagi beliau (Ramasamy) sehingga membuat kenyataan kononnya Perdana Menteri tidak memahami akibatnya dalam sebuah masyarakat yang terbahagi dan pelbagai seperti di Malaysia?. 

"Pada pandangan saya, Perdana Menteri lebih memahami daripada Ramasamy sendiri. Bagi saya, sudah tentunya Perdana Menteri mengutamakan perpaduan rakyat menerusi penggunaan bahasa kebangsaan" tegasnya. - K! ONLINE