Ketua Polis Daerah SPU, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, pihaknya yang melakukan siasatan lanjut berhubung rakaman suara itu mendapati dakwaan terdapat kes penculikan dengan kereta jenis Nissan Sunny adalah palsu.

"Polis telah menahan dua perempuan yang menggunakan kereta Nissan Sunny seperti mana yang ditularkan.

"Hasil soal siasat mendapati mereka mengaku menggunakan kereta itu yang dibeli daripada anak saudara, namun tiada kaitan dengan kes penculikan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu rakaman yang tular itu mengandungi suara seorang wanita yang mendakwa dia menerima panggilan daripada individu dipercayai penjaga anak-anaknya ketika mendapatkan rawatan di sebuah klinik.

Wanita itu mendakwa dia dimaklumkan terdapat individu mencurigakan di kawasan rumahnya sebelum dia bergegas pulang.

Menerusi rakaman suara tersebut, wanita terbabit mendakwa melihat sebuah kereta Nissan Sunny berwarna putih dipandu seorang lelaki berlegar-legar di kawasan rumahnya sebelum dia pergi ke balai polis bagi membuat laporan.

Dalam rakaman suara selama satu minit 38 saat tersebut, wanita berkenaan turut mendakwa dia telah diberitahu oleh pihak polis bahawa ada berlaku satu kes penculikan kanak-kanak di kawasan perumahannya di Bertam Putra pada minggu lalu.

Difahamkan, perakam suara tersebut merupakan seorang guru berdasarkan dakwaannya bahawa dia tidak mampu ke sekolah pada hari tersebut kerana tidak sihat.

Wanita itu mendakwa tidak sempat mengambil ubat kerana perlu bergegas pulang kerana bimbang keselamatan anak-anaknya di rumah.

Sementara itu, Noorzainy berkata, pihaknya menegaskan bahawa dakwaan tersebut adalah tidak benar dan tiada sebarang insiden penculikan pada tarikh dan masa seperti yang ditularkan.

"Saya minta orang awam agar jangan mudah terpengaruh dengan isu-isu viral yang masih belum pasti akan kesahihannya.

"Orang awam juga dinasihatkan agar berhubung terus dengan pihak polis untuk pengesahakn kebenarannya dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah SPU di talian  04-5762222. - K! ONLINE