Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Shahurinain Jais berkata, dalam kejadian pada pukul 5.20 pagi itu, mangsa, An Che Kim, 49, dipercayai sedang tidur di dalam bilik di kedai terbabit.

“Balai polis Sentral menerima maklumat kira-kura pukul 7.15 pagi mengenai kebakaran terbabit. Kebakaran melibatkan keseluruhan kedai cuci kereta dan rumah penginapan pekerja,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Shahurinain berkata, siasatan mendapati kejadian berlaku ketika empat orang pekerja sedang mencuci kereta sebelum mendengar letupan dalam rumah penginapan mereka.

“Sejurus letupan berlaku, satu kebakaran telah terjadi dan merebak pantas melibatkan keseluruhan rumah. Ketika kejadian terdapat tiga lagi mangsa di dalam bilik berlainan di rumah terbabit, bagaimanapun mereka berjaya keluar dari premis.

“Mangsa yang terperangkap dipercayai mati rentung di dalam bilik tersebut,” katanya.

Shahurinain berkata, pihak bomba yang hadir di tempat kejadian bersama pihak forensik bomba telah berjaya memadamkan kebakaran.

“Siasatan awal mendapati kebakaran dipercayai berlaku akibat litar pintas berikutan sistem pendawaian di dalam rumah ini tidak mengikut sistem pendawaian yang betul.

“Bedah siasat akan dilakukan dan kesan cap jari atau asid deosiribonukleik (DNA) mangsa diambil untuk mengenal pasti identiti,” katanya.

Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. - K! ONLINE