Dalam kejadian pukul 11 malam itu, kesemua PATI warga Indonesia yang ditahan berusia antara 19 hingga 47 tahun. 

Pengarah Maritim Malaysia Melaka/Negeri Sembilan, Kepten Maritim Amran Daud berkata, tangkapan dibuat oleh sepasukan penguat kuasa yang menerima maklumat mengenai pergerakan bot yang mencurigakan dari Indonesia menuju ke perairan Kuala Sungai Baru.

"Dalam rondaan kira-kira pukul 10.30 malam, bot peronda Maritim Malaysia mengesan dan menahan sebuah bot kayu tanpa nombor pendaftaran menggunakan dua enjin sangkut 15 kuasa kuda pada kedudukan kira-kira 0.9 batu nautika barat muara Kuala Sungai Baru.

"Pemeriksaan lanjut mendapati tujuh lelaki termasuk dua tekong berada dalam bot kesemuanya warga Indonesia,” katanya dalam satu kenyataan di sini tadi. 

Amran berkata, berdasarkan siasatan awal, bot yang ditahan itu dipercayai menjalankan aktiviti penyeludupan keluar dan masuk PATI menuju ke Pulau Rupat, Indonesia dan kegiatan itu didalangi sindiket penduduk tempatan serta warga asing yang sudah lama menetap di negara ini.

Katanya, kesemua yang ditahan akan disiasat mengikut Akta Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) dan Akta Imigresen 1959/63, manakala bot yang dinaiki telah dibawa ke jeti Maritim Malaysia di sini untuk siasatan lanjut. - K! ONLINE