Kesemua penapis air layan diri yang disyaki beroperasi tanpa surat kebenaran sah Kementerian Kesihatan itu telah disita menerusi pemeriksaan yang diadakan di kawasan Banggol Indah, Taman Fikri dan Jalan Air Puteh di sini. 

Pegawai Kesihatan Persekitaran, Mohd. Rosli Abd. Wahab berkata, operasi bersepadu tersebut turut disertai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna dan Metrology Corporation Malaysia Sdn. Bhd.

"Sebanyak tujuh mesin penapis air layan diri di daerah ini telah diperiksa dengan empat daripadanya telah disita kerana beroperasi tanpa lesen.

"Dua lagi didapati tidak beroperasi kerana telah rosak manakala sebuah lagi dalam proses permohonan mendapat kebenaran KKM. Pemantauan ini dilakukan bagi memasti air yang dijual selamat kepada pengguna," katanya kepada Kosmo! di sini hari ini.

Mohd. Rosli berkata, pemeriksaan juga mendapati kebanyakan mesin penapis air layan diri yang disita tersebut tidak dijaga kebersihannya dengan sebahagiannya berlumut terutama di bahagian tempat tadahan air. - K! ONLINE