Lima tertuduh iaitu Abdullah Hassan, 58; Muhamad Farizul Azman Husain, 38; Nordin Puteh, 54; Saiful Rizan Mohd. Noh, 36, dan Mohamad Shuib Saad, 42, dituduh menceroboh dan membersihkan hutan simpan tersebut tanpa kebenaran.

Sementara dua lagi tertuduh iaitu Harun Mat, 64, dan Mohd. Hasnizam Abdul Hamid, 32, dituduh memasuki kawasan hutan simpan berkenaan tanpa memiliki lesen, permit atau kebenaran lain.

Pada prosiding hari ini, lima tertuduh mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan yang dibacakan terhadap mereka di hadapan Hakim Murtazadi Amran.

Mereka didakwa menceroboh Kompartmen 11 Hutan Simpan Koh Moi dengan niat untuk mengusahakan kawasan hutan itu tanpa kebenaran sah bersama seorang lagi yang masih bebas iaitu warga Myanmar, Moktul Husson Guramiah, 25, kira-kira pukul 10.30 pagi, 9 Mac lalu.

Bagi pertuduhan kedua, mereka didakwa telah membersihkan atau membajak tanah di kawasan hutan simpan untuk tujuan tanaman tanpa kebenaran sah bersama Moktul Husson pada masa dan tarikh sama.

Pendakwaan bagi dua pertuduhan itu dilakukan mengikut Seksyen 81(1)(g) dan Seksyen 81(1)(e) Akta Perhutanan Negara 1984 yang setiap pertuduhan memperuntukkan hukuman denda maksimum RM10,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Dalam pada itu, tertuduh, Mohd. Hasnizam didenda RM6,000, selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan memasuki kawasan hutan simpan itu tanpa permit, lesen atau kebenaran bersama seorang lagi yang masih bebas, Abd. Jalal Mohamad, 31, kira-kira pukul 10.30 pagi, 9 Mac lalu.

Mahkamah turut memerintahkan hukuman penjara 18 bulan jika Mohd. Hasnizam tidak membayar denda tersebut. Dia membayar jumlah denda berkenaan.

Seorang lagi tertuduh, Harun bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu.
Pertuduhan terhadap mereka dilakukan mengikut Seksyen 47(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM10,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan jaminan sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin warga tempatan kepada setiap tertuduh yang minta dibicarakan sebelum menetapkan 20 Ogos depan untuk sebutan semula kes. -K! ONLINE