Sumbangan itu bagi meringankan beban keluarga mangsa yang terbabit dalam kebakaran tersebut.

Baginda meluangkan masa selama kira-kira 10 minit mencemar duli bersama mangsa terbabit.

Dalam lawatan itu, Sultan Muhammad V turut menitahkan supaya mangsa terlibat ditawarkan rumah di Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Wakaf Mek Zainab, di sini.

Sementara itu, seorang mangsa, Siti Hajar Abu Bakar, 29, berterima kasih kepada baginda kerana mencemar duli menziarah mangsa.

"Saya berterima kasih dan berbesar hati dengan sumbangan wang tunai itu kerana dapat meringankan beban.

"Antaranya dapat membeli barangan keperluan untuk Aidiladha ini," katanya.

Beliau berkata, untuk sementara waktu dia bersama ahli keluarganya seramai sembilan orang menumpang di sebuah bengkel jahit berhampiran.

Turut sama dalam lawatan itu ialah Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan, Md. Salleh Sarbini dan Timbalan Yang Dipertua Majlis Agama Istiadat Melayu Kelantan (MAIK), Zulkifli Abdul Rahman.

Dalam kejadian pada pukul 9 malam Isnin lalu, tujuh buah rumah hangus dalam kebakaran sehingga menyebabkan 59 orang tinggal sehelai sepinggang di Kampung Dusun Muda di sini.

Kebakaran dapat dikawal sepenuhnya pada pukul 9.59 malam namun punca dan jumlah kerugian masih dalam siasatan. - K! ONLINE