Panglima Operasi Udara TUDM, Leftenan Jeneral Datuk Seri Abdul Mutalib Abd Wahab berkata, perkara itu diperkukuhkan lagi dengan penempatan aset udara daripada No 7 Skuadron iaitu Helikopter Sikorsky S-61A-4 Nuri di Tawau dalam melaksanakan tugas operasi di udara mengikut keperluan semasa.

"Jika berlaku perkara tidak diingini, selain di Tawau, PBOU akan menerima sokongan daripada unit pangkalan udara di Labuan dengan terdapat jet pejuang daripada 6 Skuadron, pesawat C130 (14 Skuadron) serta helikopter EC275 (5 Skuadron)," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis penyampaian sumbangan bungkusan Aidilfitri kepada petugas PBOU Tawau yang turut dihadiri Panglima Wilayah Udara 2, Mejar Jeneral Datuk Mohd Shabre Hussein.

PBOU Tawau merupakan pangkalan hadapan untuk menyokong operasi udara di negeri ini, selain berperanan melaksanakan misi mencari dan menyelamat.

Dalam pada itu, Abdul Mutalib berkata semua anggotanya termasuk aset TUDM di Sabah dalam keadaan bersiap siaga, sepanjang musim perayaan ini.

"Kita berharap tidak ada kejadian yang tidak diingini seperti jenayah rentas sempadan atau rompakan di laut dan berharap semua unit pasukan keselamatan di Esszone seperti Angkatan Tugas Bersama 2 (ATB2), polis dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) bekerjasama menentukan keselamatan perairan negara," katanya.

Bungkusan Aidilfitri kepada anggota bertugas di PBOU itu adalah sumbangan Tabung Kebajian TUDM sebagai menghargai warganya yang bertugas ketika lebaran. - Bernama