Namun, kegilaannya itu berbaloi selepas pokok kurma tersebut bukan sahaja tumbuh subur malah turut berbuah lebat selain kini mula menghasilkan 'tuak' atau air nira dari batang pokok palma tersebut.

Di negara ini, selalunya nira ini didapati dari mayang kelapa atau mayang enau yang disadap untuk dibuat gula atau airnya yang manis berlemak dikenali sebagai 'tuak' dijadikan minuman.

Menurut Mohd. Zin yang mesra dipanggil Haji Zin dia mendapat idea tersebut baru-baru ini selepas terdapat kenalan dari Bangladesh dan Pakistan yang memberitahu pokok tersebut boleh mengeluarkan nira namun kaedahnya berbeza dengan pengambilan nira kelapa.

"Di negara Arab, mereka tidak menghasilkan nira dari pokok kurma, kebiasaannya mereka jual buahnya sahaja. Namun, di Bangladesh dan Pakistan nira kurma ini amat popular dan mendapat permintaan tinggi. 

"Jadi, sebelum bulan puasa ini, saya telah memproses dengan kaedah tertentu untuk mendapatkan niranya. Berbeza dengan nira kelapa yang diambil di mayangnya, nira atau tuak kurma diambil dengan mengikis di bahagian atas batang pokoknya," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Petani yang juga merupakan seorang peniaga itu berkata, sebaik tersebar berita mengenai tuak kurma itu dia menerima permintaan yang tinggi daripada penduduk sekitar.

"Rasanya manis dan lebih berlemak berbanding nira kelapa. Semalaman, sebatang pokok boleh mengeluarkan nira sehingga seliter setengah. Cuma buat masa ini saya masih buntu untuk menetapkan harganya lagi," ujarnya berseloroh.

Pokok kurma atau nama sainstifiknya phoenix dactylifera ialah sejenis pokok palma dan buahnya merupakan sajian utama ketika berbuka dan bersahur. - K! ONLINE.