Antara kawasan yang terjejas adalah kawasan perumahan di Kampung Sungai Penchala dan Jalan Penchala Hilir serta Terowong Penchala Link menghala ke Kota Damansara.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur berkata, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Taman Tun Dr. Ismail dan Sri Hartamas telah dikejarkan ke kawasan yang terjejas.

“Setibanya di Kampung Sungai Penchala dan Jalan Penchala Hilir, anggota kami mendapati air dari longkang berhampiran telah melimpah memasuki kawasan perumahan di situ.

“Ia menyebabkan banjir kilat dengan paras air setinggi lutut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau menambah, kawasan sekitar telah dikawal untuk memastikan ia selamat dan tiada sebarang mangsa terlibat,

“Pihak kami juga turut menerima panggilan air yang melimpah dari tapak pembinaan di sekitar kawasan bukit di Terowong Penchala Link ke jalan raya yang berhampiran.

“Anggota bomba yang bertugas telah menjalankan kerja pembersihan di sekitar laluan tersebut,” ujarnya. - K! ONLINE