Pemimpin negara pa­ling kuat di dunia itu pada asalnya dijangka tiba di Copenhagen, 2 September lalu atas undangan keluarga diraja Denmark, Ratu Margrethe II.

Lebih mengejutkan, Trump kemudian memuat naik status di Twitter bahawa beliau membatalkan lawatan tersebut kerana Perdana Menteri Denmark, Mette Frederiksen tidak berminat berbincang tentang cadangan beliau untuk membeli Pulau Greenland yang merupakan wilayah autonomi milik Denmark.

Seminggu sebelumnya, Trump pernah menyatakan bahawa AS berminat untuk membeli Greenland yang merupakan pulau terbesar di dunia meliputi kawasan seluas 2,175,597 kilometer persegi.

Australia tidak dikategorikan sebagai pulau kerana dianggap sebuah benua walaupun saiznya lebih besar daripada Greenland.

Media AS ada melaporkan hasrat Trump itu tetapi tidak berani mengesahkannya, malah, ada pemimpin yang menganggap berita tersebut palsu.

Bagaimanapun, Trump sendiri mengaku bahawa laporan yang disiarkan itu benar malah, beliau sanggup mempertimbangkan untuk menukar pulau tersebut de­ngan wilayah AS.

Pada hemat Trump, pembelian wilayah milik sebuah negara merdeka dan berdaulat itu tidak lebih daripada urusniaga hartanah.

Apabila diminta mengulas berhubung tawaran Presiden AS itu, Frederiksen agak kaget, malah menganggapnya sebagai ‘mengarut’.

Beliau juga berharap Trump tidak serius untuk membeli Greenland.

Bagaimanapun, tindakan Presiden AS itu yang membatalkan lawatan ke Denmark menunjukkan beliau serius untuk mengambil-alih pulau tersebut, tawaran yang tidak pernah dibuat oleh mana-mana pemimpin dunia selepas Presiden Harry Truman pada tahun 1946.

Ketika itu, Truman mele­takkan harga Greenland sebanyak AS$100 juta (RM417 juta) kepada Denmark. Beliau juga pernah menawarkan sebahagian wilayah AS di Alaska untuk ditukarkan dengan pulau itu.

Mungkin Trump ingin menawarkan harga yang lebih lumayan atau membuat pertukaran serupa tanpa memikirkan perasaan rak­yat Denmark yang rata-rata menganggap tawaran itu sebagai biadab termasuk tindakan Presiden AS itu membatalkan lawatannya ke negara mereka.

Hampir keseluruhan pulau yang terletak di antara Amerika Utara dan Eropah itu diliputi ais. Pulau itu dihuni oleh kira-kira 60,000 penduduk suku inuit yang kita sebut sebagai orang Eskimo.

Masyarakat tersebut mempunyai pemimpin dan Parlimen mereka sendiri.

Tindakan Trump mahu membeli Greenland tanpa duduk berbincang de­ngan pemimpin-pemimpin masyarakat pribuminya atau memikirkan perasaan mereka dikatakan sebagai kurang sopan.

Sekali pun, jika Denmark bersetuju dengan tawaran tersebut apa akan berlaku kepada masyarakat Eskimo di Greenland, adakah mereka akan diserap sebagai warganegara AS atau dibiarkan rakyat kelas kedua seperti penduduk Puerto Rico?

Adakah Trump akan membenarkan penduduk Greenland mengadakan pungutan suara sama ada bersetuju menjadi sebahagian daripada AS atau menolaknya sekiranya Copenhagen bersetuju menerima tawarannya?

Trump berminat untuk memiliki Greenland kerana kedudukannya yang strategik selain pulau itu kaya dengan sumber galian yang diperlukan oleh industri AS seperti arang batu, zink, kuprum dan bijih besi.

Bagaimanapun, tawaran untuk membeli wilayah negara lain itu adalah tidak munasabah dan tidak beretika, manakala Frederiksen sudah tentunya tidak mahu diri beliau diingati sebagai pemimpin yang menggadai negara sendiri.