Timbalan Ketua Polis Daerah Port Dickson, Deputi Superintendan Mohd Faisal Mohd Noor berkata, dalam kejadian pada pukul 12 tengah hari itu, treler tersebut dalam perjalanan dari Petaling Jaya, Selangor ke Sungai Udang, Melaka.

Treler yang dipandu S. Ramar, 50 itu dipercayai hilang kawalan semasa melalui selekoh sebelum terbalik dan melanggar sebuah hentian bas di situ, katanya dalam kenyataan, di sini.

Menurutnya, kejadian menyebabkan kesemua tong gas kosong tersebut bertaburan di atas jalan dan mengakibatkan laluan ke Pedas, terhalang.

"Tiada sebarang kebocoran gas dikesan di tempat kejadian," katanya, menambah pemandu tersebut mengalami kecederaan pada leher serta tangan dan dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar untuk rawatan. - Bernama