Ketua Pegawai Eksekutif Keretapi Tanah Melayu Bhd. (KTMB), Mohd. Rani Hisham Samsudin berkata, pembinaan landasan sejauh 197 kilometer (km) itu bakal menjadi penghubung kepada perkhidmatan Keretapi Elektrik (ETS) ke selatan yang berakhir di Gemas, Negeri Sembilan setakat ini.

“Buat masa ini, perkhidmatan ETS disediakan dari Padang Besar ke Gemas. Pada bulan ini, kita sudah memulakan pembinaan landasan berkembar dari Gemas ke JB Sentral (Johor Bahru) yang akan siap dalam tempoh empat tahun.

“Kita menjangkakan me­lalui pembukaan laluan JB Sentral-Padang Besar itu nanti, bilangan penum­pang perkhidmatan ETS akan bertambah seterusnya menjadikan ia sebagai alternatif popular pada masa akan datang,” katanya ketika ditemui selepas lawatan kerja Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron di Stesen Keretapi Pulau Sebang/Tampin di sini ­semalam.

Menurut Mohd. Rani, setakat ini ETS yang diperke­nalkan pada 2010 merupakan antara produk popular KTMB kerana perkhidmatannya yang pantas dengan kelajuan purata kira-kira 145 km/jam.

Jelasnya, Stesen Pulau Sebang dijangka disenarai antara salah sebuah hentian bagi laluan baharu Gemas-JB Sentral kerana mempunyai potensi yang baik dari segi bilangan penumpang yang bertambah saban tahun terutama pada hujung minggu dan musim cuti ­sekolah.

Pada tahun lalu, bilangan penumpang yang menggunakan perkhidmatan KTMB di stesen berkenaan meningkat 75 peratus berbanding 116,000 orang setahun pada tahun sebe­lumnya.

Mohd. Rani menambah, perkhidmatan komuter ke Batang Melaka yang ditutup sementara kini ber­operasi semula bermula pada 18 Disember lalu.

Sementara itu, Idris memberitahu, pihaknya ber­puas hati dengan per­khidmatan yang ditawarkan oleh KTMB dan maklum balas potitif yang diterima daripada penumpang membuktikan pengangkutan a­wam tersebut masih menjadi pilihan terutama menu­ju ke destinasi yang padat.