Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri, Sharikan Bustaman berkata, sebanyak 27 kes lemas dicatatkan pada tahun 2015 diikuti 28 kes (2016), 21 kes (2017) dan 17 kes sejak Januari lalu.

Menurut beliau, Terengganu sering menjadi destinasi tumpuan pengunjung apabila tiba musim cuti sekolah atau cuti umum berikutan terdapat pelbagai pilihan pusat peranginan yang menawarkan aktiviti air.

“JBPM negeri menjalankan pemantauan setiap hari di lokasi-lokasi tumpuan di mana orang ramai kerap bermandi-manda namun insiden lemas di kawasan pedalaman atau kampung membabitkan tali air atau sungai masih belum dapat ditangani.

“Boleh dikatakan lebih 50 peratus kejadian lemas di negeri ini berlaku di sungai atau tali air kerana sukar untuk kita ramalkan lokasi ‘hotspot’ jika membabitkan kawasan kampung,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan rondaan di kawasan Pantai Tok Jembal di sini hari ini.

Sharikan berkata, sebanyak 12 kes lemas di pantai dan laut dicatatkan pada tahun 2016 diikuti 10 kes di sungai, tiga kes di tasik dan tali air serta tiga lagi di air terjun.

Manakala tahun lalu JBPM merekodkan sebanyak 11 kes lemas di kawasan sungai sementara masing-masing hanya tiga kes di pantai dan tasik. - K! ONLINE