Kayuhan membabitkan jarak kira-kira 17 kilometer itu bermula di hadapan Dataran Merdeka di sini dan melalui beberapa jalan utama di ibu kota iaitu Jalan Raja Laut, Jalan Sultan Ismail, jalan sekitar KLCC, Jalan Raja Abdullah, Jalan Tun Razak, Jalan Tun Ismail (melalui Pusat Dagangan Dunia Putra) dan kembali ke Dataran Merdeka.

Upacara pelepasan disempurnakan Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail pada pukul 7.30 pagi.

Cef Sabri Soid daripada Hotel Royale Chulan Kuala Lumpur yang menyertai kayuhan amal itu berkata, penyertaan itu terbuka kepada golongan cef daripada seluruh negara dan orang ramai, dengan tujuan untuk mengumpul dana bagi membantu cef yang menghadapi masalah kesihatan, kewangan dan sebagainya.

"Program kayuhan ini akan diteruskan pada masa depan dengan kerjasama Yayasan Generasi Malaysia dan cef-cef Malaysia yang bukan sahaja mempromosikan gaya hidup sihat tetapi turut menghulurkan bantuan kepada cef yang memerlukannya," katanya ketika ditemui Bernama.

Penaja utama kayuhan amal itu ialah Widad Business Group dan dianjurkan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Majlis Sukan Negara (MSN). - Bernama