Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berkata, pendekatan kreatif untuk menyampai dan menyebar luas vi­deo pendidikan seks itu menyasarkan tontonan sebanyak 150,000 oleh kanak-kanak berusia tiga hingga ke empat tahun sehingga hujung tahun ini.

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, video berdu­rasi kira-kira seminit tersebut merupakan yang pertama seum­pamanya di Malaysia yang disiarkan bermula semalam dalam bentuk iklan sebelum video pilihan kegemaran dan pilihan kanak-kanak disiarkan di platform tersebut.

“Pengetahuan dan kesedaran yang disampaikan melalui video ini merupakan perkara asas yang kanak-kanak perlu tahu untuk mengelakkan diri daripada menjadi mangsa dan membantu mereka mengenal pasti tingkah laku mencurigakan yang sepatutnya dilaporkan,” katanya pada sidang akhbar bersempena pelancaran video tersebut di sini semalam.

Wan Azizah berkata, video tersebut dihasilkan melalui usahasama antara kementerian dan Malaysians Against Pornography yang sehingga kini telah menghasilkan empat hingga lima video pendidikan seks untuk kanak-kanak, selain mendapat kerjasama pihak Google.

Tambahnya, kebanyakan ibu bapa hari ini membenarkan anak-anak mereka melayari YouTube bukan sahaja untuk tujuan pendidikan tetapi turut menjadi sumber pendidikan interaktif.