Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, perkara tersebut perlu dilaksanakan bagi membolehkan limpahan ekonomi dirasai oleh semua rakyat tanpa mengira kawasan yang didiami. 

"Lima wilayah yang diwujudkan oleh Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi ketika itu iaitu Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER), Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER), Koridor Pembangunan Sabah (SDC), Koridor Pembangunan Tenaga Sarawak (Score) dan Iskandar Malaysia ini perlu berperanan membangunkan kawasan yang tertinggal dan terpinggir seperti Bagan Datuk. 

"Kemasukan Bagan Datuk ke dalam NCER memberi banyak manfaat kepada rakyat termasuk program berbentuk industri dan keusahawanan di daerah atas inisiatif Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA)," katanya. 

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Pelancaran Program Komuniti  Agropreneur anjuran NCIA di Tapak Latihan Komuniti Agropreneur Bagan Datuk, Sungai Pergam di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Eksekutif NCIA, Datuk Redza Rafiq Abdul Razak. 

Program tersebut disertai 200 penduduk daerah Bagan Datuk yang membabitkan penanaman cili secara fertigasi dengan sasaran setiap peserta mampu memperoleh pendapatan bulanan melebihi RM1,000 sebulan.

Ahmad Zahid turut mencadangkan kepada Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) untuk mewujudkan sistem perladangan kontrak bagi program komuniti agropreneur itu dan semua cili tidak terjual pula boleh diproses untuk dijadikan produk lain seperti sos cili, cili boh dan serbuk cili. 

"Saya juga mahu program agropreneur nyang memberi manfaat kepada rakyat ini diperluaskan lagi kepada 380 penduduk yang berada dalam senarai menunggu.

"NCIA juga perlu memastikan program ini disertai semua kaum termasuk Cina dan India di daerah tersebut agar semua bangsa mendapat manfaat daripada program ini," katanya.  - K! ONLINE