Setiausaha Politik Perdana Menteri, Abu Bakar Yahya sebaliknya meminta rakyat meneliti dahulu kesahihan sebarang maklumat sebelum menyebarkan kepada orang lain terutamanya menerusi media sosial.

Merujuk sebaran maklumat yang tular kononnya kenderaan yang dinaiki Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan isteri, Tun Dr. Siti Hasmah Mohamad Ali terbabas semasa keluar daripada sidang Parlimen hari ini, beliau menegaskan ianya adalah palsu.

"Pihak yang membuat dan menyebarkan berita palsu terhadap Perdana Menteri itu adalah tidak bermoral. Malah saya tidak menolak kemungkinan pihak ini berniat jahat terhadap Tun Dr. Mahathir.

"Saya yakin bahawa rakyat Malaysia adalah masyarakat yang berilmu serta berfikiran rasional. Maka adalah penting kita menolak budaya penyebaran berita palsu yang mana jika tidak dibendung, boleh merosakkan pemikiran rakyat," katanya di sini hari ini. 

Dalam pada itu, Abu Bakar yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu itu meminta pihak berkuasa memantau serta bertegas dalam menangani penyebaran berita palsu teutamanya menerusi media-media sosial.

"Dalam mengejar kemajuan negara dan rakyat, tiada tempat lagi dalam masyarakat bagi mana-mana pihak berfikiran sempit yang cuba menyebarkan berita atau maklumat palsu," ujarnya.

Terdahulu, Abu Bakar hari ini turut meraikan kepulangan 10 atlit negara termasuk seorang jurulatih yang berjaya mengharumkan nama negara dalam Kejohanan Muay Thai Dunia Ke-16 yang berlangsung di Bangkok, Thailand pada 12 hingga Mac lalu.

Dalam kejohanan itu, kontinjen negara menggondol tujuh pingat emas, dua perak dan satu gangsa dalam kejohanan berprestij itu yang disertai 50 buah negara.

Kesemua mereka tiba di Lapangan Terbang Bayan Lepas kira-kira pukul 2 petang ini dan turut disambut Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Pulau Pinang, Soon Lip Chee. - K! ONLINE