Tok Batin Pos Bihai, Awin Pedik berkata, dia serta sembilan lagi tok batin lain yang merupakan pemimpin sebenar masyarakat Orang Asli tidak bersetuju dengan tindakan agresif itu sehingga memudaratkan aktivi harian penduduk.

Awin mengakui bahawa wujud dakwaan kemusnahan hutan seperti diperjuangkan oleh Jaringan namun tindakan membina sekatan itu melanggar tatasusila masyarakat Temiar yang dikenali dengan sikap kesopanan.

"Ini bertentangan dengan budaya suku Temiar yang cintakan kedamaian. Sekatan yang didalangi Jaringan tidak membantu menyelesaikan isu tanah, sebaliknya menjejaskan usaha rundingan sedia ada dengan kerajaan negeri di samping mengganggu ekonomi penduduk Orang Asli sendiri.

"Sekatan ini dibuat oleh sebilangan kecil orang muda yang panas baran selepas terpengaruh dengan hasutan Jaringan serta pihak luar. Saya ingin tegaskan, pendirian mereka tidak mewakili masyarakat serta barisan pemimpin sah Orang Asli di Gua Musang," katanya.

Dia ditemui bersama sembilan Tok Batin dari Gua Musang bertemu Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob bagi menyampaikan memorandum berkaitan kawasan rayau yang digazetkan oleh kerajaan negeri atau dikenali tanah 'saka' Orang Asli di Pasir Pekan, di sini hari ini. - K! ONLINE.