Menerusi aplikasi ini, warga TLDM termasuk yang sedang melakukan operasi di atas kapal boleh mengakses pelbagai maklumat berkaitan menerusi telefon pintar masing-masing.

Ia merangkumi aplikasi E-Book Ship Husbandry, Navigation Quick Reference, Navigation Quick Guide, PWO Crib, Ship’s Tips dan Rules of the Road (ROR).

Panglima TLDM, Laksamana Datuk Mohd. Reza Mohd. Sany berkata, pengenalan aplikasi pintar itu sejajar dengan perkembangan teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) dalam kalangan warga angkatan laut itu.

Menurut beliau, menariknya aplikasi berkenaan dibangunkan sendiri oleh sekumpulan pegawai TLDM sekali gus membuktikan penguasaan mereka dalam bidang ICT.

“Perkembangan ICT masa kini telah memberikan impak yang amat besar kepada dunia malah tidak terkecuali TLDM terutama dalam kalangan Generasi Y.

“Aplikasi ini merupakan ikon yang boleh diakses bagi tujuan rujukan segera. Ia sangat sesuai kepada pegawai-pegawai muda dengan kelebihan konsep rujukan pantas melalui telefon pintar.

“Secara tidak langsung, ianya menyediakan kemudahan dalam proses pembelajaran kepeda generasi masa kini,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas hadir pada Perbarisan Hari TLDM ke-85 di Pangkalan TLDM Lumut di sini hari ini.

Turut hadir Timbalannya, Laksamana Madya Datuk Khairul Anuar Yahya dan Panglima Armada Barat, Laksamana Madya Datuk Rosli Ramli.

Terdahulu, Mohd. Reza memeriksa perbarisan terdiri daripada 26 pegawai dan 538 anggota diketuai Komander Mohamad Hilmi Yusof.

Dalam pada itu, menyentuh tentang pembangunan TLDM, kata Mohd. Reza, pasukan itu tetap melaksanakan inisiatif untuk memperkasakan aset sedia ada bagi memenuhi keperluan operasi yang dinamik.

Ujar beliau, antaranya program pengupayaan semula kapal peronda KD Baung oleh sebuah syarikat tempatan yang menyaksikan TLDM berjimat sebanyak 70 peratus atau RM22 juta berbanding pelaksanaan kaedah konvensional.

“Kita juga melaksanakan pemasangan sistem kawalan tembakan terhadap kapal-kapal  Skuadron Kapal Ronda Ke-17 dan Korvet Ke-24 serta peningkatan keupayan sistem pengurusan tempur KD Jebat.

“Turut dirancang proses menaik taraf kapal-kapal pembinasa laju melalui pemasangan sistem pengurusan tempur buatan tempatan, pengupayaan kapal pemusnah periuk api, perolehan bot pemintas lajut  dan pesawat tanpa pemandu (UAV). Kesemua ini sebagai aspek sokongan kepada Program Transformsi 15 ke 5 TLDM,” ujarnya. - K! ONLINE