Namun begitu pada masa yang sama, ada sahaja rakan anda yang mampu menabung dan membeli barang yang mereka impikan tanpa perlu meminta daripada ibubapa.

Sebenarnya mengumpul dan menabung tidaklah sukar, sekiranya anda benar-benar berazam dan memberi komitmen penuh untuk melakukannya.

Ikuti saja tip mudah berikut untuk membolehkan anda menabung dan melabur supaya kelak, jika anda teringin untuk membeli sesuatu, anda boleh mendapatkannya tanpa menyusahkan sesiapa.

Langkah 1

Mulakan dengan membuat bajet. Catatkan duit belanja, duit raya atau hadiah tunai yang anda terima dan semua perbelanjaan yang telah lakukan untuk merekod aliran masuk dan keluar wang yang anda terima.

Langkah 2

Simpan sedikit daripada duit belanja sekolah yang diterima. Katakan anda menerima RM3, simpanlah 50 sen atau RM1 setiap hari dalam tabung. Untuk langkah berjimat, anda boleh membawa bekal ke sekolah.

Pastikan anda mempunyai tabung untuk menyimban duit berkenaan supaya ia tidak bersepah dan hilang begitu sahaja. Duit dalam tabung juga sukar untuk dikeluarkan. Amalan labur dulu baru belanja ini akan memudahkan anda membina tabungan dan me­labur.

Langkah 3

Jika boleh, ajak rakan atau adik-beradik untuk sama-sama menabung dan mela­bur. Tetapkan satu matlamat peribadi sebagai motivasi untuk menabung. Katakan anda ingin membeli kasut baharu manakala adik anda ingin membeli beg baharu, jadikan impian ini sebagai motivasi setiap kali anda berasa ingin mengalah.

Langkah 4

Apabila tabung sudah penuh atau anda sudah mencapai jumlah yang anda inginkan, ajaklah ibu dan ayah untuk meraikannya dengan membeli barangan yang anda inginkan. Jika ada lebihan, laburkan wang berkenaan dalam ASB supaya wang berkenaan boleh bertambah dari tahun ke tahun menerusi dividen yang anda terima.

Jika ingin melabur dalam ASB, minta ibu bapa anda untuk membuka akaun di mana-mana cawangan atau ejen ASNB seperti Maybank dan CIMB Bank.

Selepas itu jika ada wang lebihan, minta ibu bapa masukkan wang anda ke dalam ASB secara online menerusi myASNB.

Langkah 5

Jadikan amalan menabung dan melabur sebagai sebahagian gaya hidup anda. Bak kata pepatah, alah bisa tegal biasa, jika anda sudah biasa menjadikan amalan berjimat cermat, menabung dan melabur sebagai amalan, anda pasti tidak akan berdepan masalah kewangan pada masa depan.

Ingatlah, untuk mencapai kemerdekaan kewangan, yang penting bukanlah berapa banyak gaji atau duit belanja yang anda terima, tetapi tentang bagaimana anda menguruskannya. Walau pendapatan anda berpuluh ribu sebulan, tetapi jika anda tidak bijak mengurus dan melaburkannya, anda akan dapati bahawa ‘besar periuk, besarlah keraknya. Di akhirnya anda hanya akan berbelanja dan membazir, sedangkan orang yang bijak mengurus kewa­ngan, sentiasa menambah aset dan pelaburan dari semasa ke semasa.