Yang Dipertuanya Datuk Zazali Salehudin berkata, tunggakan bayaran itu melibatkan pembayaran cukai taksiran, kompaun lalu lintas serta kompaun berkaitan ubahan bangunan tanpa kebenaran, rumah semak samun, tiada lesen anjing, iklan tanpa lesen, rumah urut tanpa lesen, penjaja tanpa lesen dan halangan kaki lima yang melibatkan individu dan syarikat.

Katanya walaupun sebelum ini tindakan telah diambil, namun masih terdapat banyak tunggakan yang belum lagi dijelaskan dan ia masih belum mencapai sasaran yang ditetapkan.

"Pada masa ini tunggakan tertinggi adalah daripada cukai taksiran yang mana telah mencecah RM34.88 juta, manakala tunggakan kompaun lalu lintas juga telah melebihi RM30 juta sejak dikuatkuasakan. Bagi mengatasi masalah ini, MPS akan meningkatkan lagi tindakan penguatkuasaan untuk memastikan mereka yang enggan menjelaskan tunggakan tersebut diheret ke mahkamah," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Katanya pada tahun 2018 sahaja, sebanyak 325 kes telah difailkan ke mahkamah bagi kesalahan lalu lintas, manakala sebanyak 180 kes telah difailkan tahun ini bagi kesalahan lain seperti ubahan bangunan tanpa kebenaran, rumah semak samun, tiada lesen anjing, iklan tanpa lesen, rumah urut tanpa lesen, penjaja tanpa lesen dan halangan kaki lima.

Katanya untuk mereka yang enggan hadir ke mahkamah, waran tangkap boleh dikeluarkan oleh pihak mahkamah.

"Selain daripada tindakan mahkamah, segala permohonan lesen, kebenaran merancang yang dikemukakan oleh individu dan syarikat kepada MPS akan disekat sehingga mereka menjelaskan tunggakan tersebut," katanya.

Di samping itu, Zazali berkata MPS juga akan meningkatkan usaha untuk mendapatkan kutipan cukai taksiran termasuk ke rumah individu terbabit.

Katanya tempoh yang diberikan untuk individu dan syarikat menjelaskan tunggakan mereka adalah sehingga 30 November ini, sekiranya masih enggan membayar, tindakan lelong, mahkamah dan sita akan diambil terhadap mereka mengikut saluran tertentu.

Ketika ini, katanya MPS ada menawarkan diskaun sehingga 50 peratus sehingga 31 Disember ini untuk kesalahan lalu lintas.

Beliau turut menegaskan bahawa hasil yang diperoleh daripada kutipan cukai taksiran, kompaun, lesen dan lain-lain akan digunakan untuk pembangunan infrastruktur, kemudahan awam dan landskap yang lebih baik untuk warga Seremban. - Bernama