Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Besi, Mohd. Azhar Harun berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian kira-kira pukul 2.44 petang sebelum bergegas ke lokasi.

"Seramai 15 anggota berserta dua jentera bomba dari BBP Bukit Jalil dan BBP Sungai Besi termasuk sebuah jentera Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) telah dikerahkan ke lokasi kejadian.

"Sebaik tiba di lokasi, anggota bertugas mendapati sebuah bilik di rumah satu tingkat berkenaan sedang dijilat api dan terdapat beberapa individu sedang cuba membantu memadamkan kebakaran," katanya ketika dihubungi di sini.

Menurut Mohd. Azhar, kebakaran melibatkan sebuah bilik berukuran 9.29 meter persegi yang telah musnah 100 peratus dijilat api yang kemudiannya berjaya dikawal kira-kira pukul 3.05 petang.

"Siasatan yang dilakukan mendapati kebakaran berlaku akibat litar pintas dan pemeriksaan lanjut telah menemui beberapa kecuaian yang dilakukan oleh pemilik rumah seperti tidak memadamkan suis sebelum keluar dari rumah.

"Kebakaran dipercayai berpunca akibat litar pintas pada salah satu soket elektrik yang dibiarkan terpasang di dalam bilik tersebut," jelas beliau.

Dalam pada itu, Mohd. Azhar memaklumkan, seorang warga emas turut mengalami luka pada tangan akibat terkena pagar rumah mangsa sewaktu cuba membantu memadamkan kebakaran.

"Sewaktu kejadian, pemilik kediaman itu tiada di rumah jadi jiran-jiran cuba membantu memadamkan kebakaran melalui pagar rumah ekoran pintu pagar yang berkunci," katanya. - K! ONLINE