Timbalan Setiausaha Bahagian (Sektor Dasar Cukai Tidak Langsung dan GST) Kementerian Kewangan, M.A. Sivanesan berkata, ini berikutan peranan GST sebagai satu bentuk cukai penggunaan yang begitu stabil dalam apa juga keadaan ekonomi, sekali gus memberi kestabilan kepada pendapatan kerajaan.

"Ini berbanding komoditi seperti petroleum yang mana aspek kenaikan dan penurunan harganya adalah sukar dikawal berikutan faktor luaran.

"Oleh itu, (tindakan)kebergantungan kepada hasil minyak itu bukanlah satu pilihan yang bijak," katanya kepada Bernama dalam satu temu bual di sini semalam.

Beliau turut menyifatkan tindakan pemansuhan GST sebagai tidak wajar dan bersifat 'mundur' berikutan objektif asal GST yang diperkenalkan pada 2015 adalah untuk mengurangkan kebergantungan terhadap hasil petroleum berdasarkan pengalaman kerajaan berdepan krisis kejatuhan harga minyak global.

"Kalau kita lihat pada 2016, apabila harga minyak dunia jatuh kepada lebih kurang US$30 setong, ia memberi impak sebanyak RM30 billion kepada ekonomi kita.
"Sehubungan itu, tindakan bergantung kepada hasil minyak bukanlah satu cara yang terbaik," katanya.

Malah, keberkesanan GST yang telah digunapakai di lebih 160 buah negara turut menarik minat sekurang-kurangnya tiga negara lagi untuk melaksanakannya selepas Malaysia iaitu India, Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu. - Bernama