Beliau berkata pihak kementerian akan memantau perkembangan kes berkenaan dan berbincang mengenai tindakan yang boleh diambil terhadap mereka.

"Pastinya wabak seperti ini perlu dicatat dengan baik, dan taska atau premis seperti ini andainya berlaku kekerapan luar biasa perlu diambil tindakan," katanya pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Wong Kah Woh (PH-Ipoh Timur) berhubung  tindakan kerajaan terhadap premis penjagaan kanak-kanak seperti taska yang mencatat statistik kes HFMD yang tinggi.

Dzulkefly bagaimanapun berkata sehingga kini belum ada tindakan yang diambil terhadap mana-mana premis atas isu sedemikian.

Mengulas lanjut, beliau berkata 39,408 kes HFMD dicatat dari 1 Jan hingga 29 Julai lepas dengan Selangor mencatat jumlah tertinggi 11,669 kes, diikuti Kuala Lumpur (4,552) dan  Sarawak (4,551).

Menjawab soalan tambahan Ahmad Marzuk Shaary (PAS-Pengkalan Chepa) berhubung produk tertentu yang dikatakan efektif dalam mengubati HFMD, Dzulkefly berkata kementerian meneliti beberapa syor termasuk keberkesanan satu vaksin yang sedang diusahakan Taiwan. - Bernama