Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) yang menyelia suruhanjaya tersebut berkata tindakan lanjut boleh diambil jika monopoli tersebut menyalahgunakan kedudukannya seperti termaktub di bawah Seksyen 10 Akta Persaingan 2010.

Dalam satu kenyataan malam ini, KPDNHEP menyambut baik saranan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook untuk menggabung kedua-dua syarikat e-hailing berkenaan.

"Kementerian bersama suruhanjaya sentiasa menyokong usaha kerajaan untuk memastikan pasaran terbuka yang bertunjangkan ketelusan, tadbir urus korporat yang baik dan perlakuan perniagaan yang beretika," kata kenyataan itu.

Pada 11 Julai, Loke dipetik berkata perkhidmatan e-hailing akan dikawal selia oleh kerajaan berkuat-kuasa 12 Julai melalui Akta Pengangkutan Awam Darat (Pindaan) 2017 dan Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (Pindaan) 2017.

Beliau juga berkata syarikat e-hailing mesti berdaftar sebagai Perniagaan Pengantaraan dan perlu membayar fi yang ditetapkan.

KPDNHEP berkata pemakluman tentang tindakan suruhanjaya telah dibentangkan kepada kementerian berhubung langkah-langkah konkrit ke arah penyiasatan berskala penuh setelah penilaian dan analisis terhadap aduan dan maklum balas dibuat oleh Grab dan Uber. - Bernama