Abdul Samat Jusoh, 57, yang sebelum ini aktif dalam aktiviti kemasyarakatan termasuk menjadi Timbalan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Rhu Tapai kini terlantar sakit akibat masalah saraf tunjang akibat kejadian berlaku pada Oktober tahun lalu.

Isterinya, Marian Abdul Rahman, 51, berkata, suaminya, Ahmad Samat disahkan menghadapi masalah saraf tunjang kira-kira sebulan selepas mengadu mengalami sakit belakang selepas menyertai program gotong-royong yang diadakan di sekitar perkampungannya.

"Sejak itu, dia terlantar dan terpaksa berulang-alik ke hospital untuk merawat penyakitnya hampir setiap bulan selain kami berikhtiar dengan melakukan urutan tradisional.

"Penyakitnya semakin melarat sehingga merebak ke beberapa saraf lain termasuk saluran pundi kencing sehingga menyebabkannya sukar untuk membuang air kecil," katanya ketika ditemui di rumah mereka di Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Rhu Tapai, Merang dekat sini hari ini.

Tambah menguji keluarga itu, Marian memberitahu, dia juga perlu menjaga seorang anak lelakinya, Mohd. Azua, 27, yang tergolong dalam kalangan orang kelainan upaya (OKU) mental selain perlu membantu keperluan suaminya termasuk menguruskan diri. - K! ONLINE