Ketua Polis Johor, Datuk Mohd. Khalil Kader Mohd. berkata, kejadian pada pukul 1.20 pagi itu berpunca daripada salah seorang lelaki tidak berpuas hati kerana menunggu masa yang agak lama ketika membuat pembayaran di mesin automatik.

"Lelaki itu menegur seorang lagi lelaki ketika itu dan berlaku salah faham sehingga berlaku pergaduhan antara mereka.

"Pada masa yang sama rakan kedua-dua lelaki terbabit campur tangan lalu keadaan semakin kecoh namun polis bantuan yang berada di lokasi meredakan kejadian," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mohd. Khalil berkata, polis bantuan tersebut menahan kedua-dua lelaki terbabit sebelum pergaduhan itu dapat dileraikan.

Terdahulu, sebuah rakaman video berdurasi 27 saat di media sosial tular menunjukkan dua lelaki ditahan anggota polis bantuan dalam kejadian pergaduhan di The Zone, Stulang Laut di sini.

Menurut Mohd. Khalil, polis masih menjalankan siasatan kejadian itu mengikut Seksyen 147 dan 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan rusuhan serta merosakkan harta benda awam. - K! ONLINE