Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Lim Bak Phai berkata, dalam kejadian pada pukul 6.50 pagi itu, van tersebut membawa seramai 11 penumpang warganegara Thailand termasuk ketiga-tiga mangsa.

“Mereka yang cedera terdiri daripada seorang lelaki yang juga pemandu van itu serta dua wanita Thailand dan kesemuanya mengalami kecederaan ringan di bahagian kaki mereka.

“Van tersebut dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menuju ke Thailand dan ketika sampai di lokasi kejadian, mereka terlanggar seekor kerbau yang secara tiba-tiba melintas di jalan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bak Phai memberitahu, kesemua mangsa yang cedera telah dibawa ke Hospital Sungai Buloh di sini untuk menerima rawatan lanjut dan lapan penumpang yang lain tidak mengalami sebarang kecederaan dan telah dibawa ke tempat yang selamat.

Menurut Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, pihaknya menerima panggilan kecemasan tentang kejadian tersebut pada pukul 6.53 pagi tadi.

“Seramai 10 pegawai dan anggota bersama sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kubu Bharu dikejarkan ke lokasi berkenaan.

“Ketika sampai di sana, kami mendapati bahawa dua mangsa terdapat mangsa yang tersepit di bahagian hadapan van itu dan kami mengambil masa beberapa minit untuk mengeluarkan mangsa,” ujarnya. - K! ONLINE