Dalam kejadian pada pukul 3 pagi itu, selain remaja berusia 19 tahun terbabit turut diberkas dua rakan suspek termasuk seorang wanita masing-masing berusia 19 dan 22 tahun.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Shahurinain Jais berkata, ketika kejadian, juruwang kedai serbaneka terbabit didatangi seorang lelaki terus mengacukan senjata disyaki buku lima.

"Suspek mengarahkan mangsa untuk membuka laci kaunter supaya menyerahkan wang dan pada masa yang sama dua orang pelanggan ternampak kejadian itu lalu memberkas remaja terbabit sambil dibantu seorang lagi rakan sekerja mangsa.

"Pekerja kedai serbaneka itu kemudiannya menghubungi polis sebelum polis tiba 15 minit lalu menahan suspek," katanya di sini hari ini.

Shahurinain berkata, hasil soal siasat ke atas suspek membawa kepada penahanan dua lagi rakannya yang sedang menunggu di dalam sebuah kereta yang diletakkan kira-kira 50 meter dari lokasi kejadian.

Ujarnya, siasatan lanjut mendapati remaja terbabit mengaku melakukan samun ke atas kedai serbaneka sehari sebelum kejadian yang sama di Jalan Harimau, Taman Century di sini.

Beliau berkata, ketiga-tiga suspek kini ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 392, 393 dan 397 Kanun Keseksaan. - K! ONLINE