Itu ungkapan daripada tiga buah keluarga  di galeri awam Mahkamah Tinggi di sini hari ini sebaik anak mereka dilepas dan dibebaskan daripada hukuman gantung sampai mati atas tuduhan mengedar dadah, Februari tahun lalu. 

Hakim Datuk Abdul Halim Aman memutuskan demikian selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Amaluddin Gulam Mohamad, 26 dan Kamarul Izwan Rasidi dan tunangnya, Nursyuhadah Md. Zain yang masing-masing berusia 28 tahun. 

Abdul Halim dalam penghakimannya memberitahu, sikap tidak prihatin pegawai penyiasat dalam melakukan penyiasatan yang tidak lengkap, kukuh dan terperinci. 

"Pegawai penyiasat juga mengakui tidak boleh memadankan tujuh kesan cap jari yang ditemui di lokasi kejadian dengan ketiga-tiga tertuduh disebabkan masalah sistem (rekod jari) dan perlu dihantar ke forensik. 

"Pengesanan di bahagian forensik juga dilakukan dua hari sebelum perbicaraan kes berakhir pada Julai lalu," jelasnya. 

Mengikut kertas pertuduhan, ketiga-tiga mereka didakwa mengedar dadah jenis Kanabis seberat 512 gram di tepi jalan PJS 8/5, Sunway Mentari, Sungai Way, Petaling Jaya pukul 9 malam pada 8 Februari tahun lalu. 

Justeru, mereka melakukan kesalahan mengikut Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B (2) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan. 

Jika sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati. 

Sepanjang perbicaraan yang bermula 13 Mei lalu, pihak pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Zuraini Abdul Razak mengemukakan empat orang saksi dan 24 eksibit kepada pihak mahkamah.

Sementara, Amaluddin diwakili Peguam Mohamad Hafiz Jalaludin dan Mohamad Salihen Mastor manakala Kamarul diwakili Peguam Datuk N. Sivananthan dan Dhanyaa Shreeya. 

Nursyuhadah pula diwakili Peguam Gerard Lazarus. - K! ONLINE