Ketiga-tiga lelaki ceti haram itu termasuk ketua mereka berusia 23 hingga 40 tahun diberkas pukul 1 tengah hari.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Selangor, Asisten Komisioner Fazlisyam Abd. Majid berkata, berdasarkan siasatan awal mendapati kumpulan suspek ini beroperasi dengan lesen sejak 10 tahun lalu di Klang. 

Katanya, namun didapati telah menyalahgunakan syarat sah lesen dengan menyediakan perkhidmatan kepada peminjam di luar kawasan mereka. 

"Modus operandi ah long ini didapati mengutip bayaran pinjaman faedah RM100 setiap hari selama dua bulan. 

"Berdasarkan laporan polis dilakukan seorang mangsa yang merupakan peniaga atas talian telah dipukul apabila gagal membayar faedah dengan pinjaman sebenarnya adalah berjumlah RM5,000," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini. 

Menurut beliau, kumpulan suspek itu juga bertindak agresif dengan mengunci rumah mangsa.

Ujar beliau, hasil siasatan awal juga mendapati kumpulan suspek ini akan memeriksa pungutan bayaran faedah pinjaman itu berdasarkan kad kecil yang dibawa setiap kali pembayaran dilakukan mangsa. 

Difahamkan, ah long tersebut akan menambah bayaran RM100 sehari bagi setiap kegagalan mangsa membayar faedah pinjaman bila dikehendaki mereka. 

"Kita turut merampas wang tunai RM20,000, telefon bimbit, cek, kunci mangga serta buku catatan pinjaman wang, dua kenderaan iaitu Toyota Harrier dan Perodua Myvi daripada kumpulan suspek. 

"Setakat ini, kita tidak mengesan sebarang penglibatan suspek dengan kumpulan kongsi gelap dan semakan mendapati ketiga-tiga mereka mempunyai rekod jenayah lampau," katanya. 

Jelas Fazlisyam, ketiga-tiga suspek kini direman selama empat hari semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 5(2), Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951 dan Seksyen 323 Kanun Keseksaan. - K! ONLINE