Mangsa berusia 75 tahun itu mula terjerat dalam sindiket itu selepas dikunjungi beberapa kali oleh ahli sindiket di rumahnya di Kepala Batas di sini sejak 2016.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, mangsa telah dijanjikan hadiah yang lumayan sehingga RM150,000 selepas memenangi cabutan bertuah, namun perlu membuat sejumlah pembayaran.

"Sepanjang tempoh tersebut, ahli sindiket telah empat kali bertemu mangsa sambil membawanya ke bank bagi tujuan pengeluaran wang yang akan serahkan kepada sindiket.

"Jumlah keseluruhan wang yang diserahkan adalah sebanyak RM49,000 sambil wanita itu dijanjikan bahawa wang tersebut akan dipulangkan semula," katanya kepada pemberita hari ini.

Noorzainy berkata, kali terakhir mangsa menyerahkan wang kepada sindiket itu adalah pada hujung Mac lalu sebelum dia berasa curiga kerana sering dihubungi bagi meminta wang.

"Dia kemudiannya mencerita perkara itu kepada anaknya kelmarin sebelum menyedari dia telah ditipu dan membuat laporan polis.

"Bagaimanapun selepas laporan polis dibuat, mangsa masih didatangi ahli sindiket sebelum polis menahan seorang wanita di pekarangan rumah mangsa bagi membantu siasatan," katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. - K! ONLINE