Dalam serbuan itu, polis turut menahan empat lelaki berusia dia antara 22 hingga 36 tahun bersama-sama sejumlah dadah.

Ketua Polis Daerah SPU, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, pihaknya telah merampas pelbagai jenis dadah yang keseluruhannya bernilai RM159,840 bagi ketiga-tiga operasi.

"Dalam serbuan pukul 3.30 petang di Jalan Raja Uda semalam, seorang lelaki berusia 30 tahun ditahan bersama-sama dadah jenis ketamin seberat 740 gram (g) serta 370 biji pil ekstasi dan (280) pil Eramin 5 bernilai RM126,300.

"Serbuan berikutnya pukul 3 pagi hari ini di sebuah pangsapuri di Taman Sukaria, polis menahan seorang lelaki berusia 36 tahun bersama dadah disyaki heroin seberat 452 g bernilai RM22,600," katanya pada sidang akhbar di Kepala Batas di sini sebentar tadi.

Dalam pada itu, Noorzainy berkata, dalam tempoh sejam berikutnya, pihak polis menahan dua lagi lelaki berusia 22 dan 24 tahun ketika menyerbu sebuah pangsapuri di Mak Mandin.

"Dalam serbuan itu, sebanyak 459.5 g dadah disyaki ganja dan (35 g) heroin yang kesemuanya bernilai RM10,940 dirampas.

"Bagaimanapun bagi ketiga-tiga kes berkenaan, ia tiada kaitan di antara satu sama lain dan sindiket-sindiket itu dipercayai memasarkan dadah tersebut di sekitar negeri ini," katanya lagi.

Dalam pada itu, Noorzainy berkata, kesemua suspek direman selama tujuh hari sehingga Rabu ini untuk siasatan lanjut.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 39B dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. - K! ONLINE