Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Mohd. Taufik Maidin berkata, tiga sekatan tersebut masing-masing di Kampung Depak di Pos Tohoi, Kampung Cawas di Pos Bihai dan Kuala Wok Wok di Pos Pasik.

"Kerja-kerja merobohkan tiga sekatan tersebut bermula pada pukul 10 pagi tadi dan berakhir setengah jam kemudian dan telah diberitahu lebih awal kepada penduduk," katanya ketika ditemui pemberita selepas operasi tersebut.

Mohd. Taufik berkata, operasi merobohkan sekatan yang dibina kira-kira tujuh tahun lepas itu dilakukan oleh 200 kakitangan JPNK dan PTG Kelantan sambil diawasi 234 anggota polis dan Pasukan Gerakan Am (PGA) bagi mengelak sebarang kejadian yang tidak diingini daripada berlaku.

"Seramai 150 masyarakat Orang Asli berkumpul di tiga sekatan berkenaan namun tiada sebarang bantahan ataupun pergaduhan berlaku ketika operasi tersebut dijalankan.

"Operasi tersebut hanya membabitkan sekatan pembalakan dan bukan pondok tempat mereka berteduh dan kami turut menasihatkan mereka supaya tidak lagi membina sekatan selepas ini," katanya. - Bernama