Ketua Kesihatan Awam Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak, Dr. Cheong Yaw Liang berkata, kes pertama positif rabies melibatkan anjing yang ditangkap dekat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Julau No. 2 pada 31 Disember 2017.

Dua kes lagi membabitkan anjing berkeliaran yang ditangkap di tepi jalan Rumah Paing, Km 19 Jalan Kelupu-Julau-Durin (KJD) dan di Jalan Julau/Entabai (kira-kira dua kilometer dari Pekan Julau) pada 8 Januari lepas.

Beliau berkata, setakat ini, belum ada kes jangkitan virus rabies melibatkan manusia di daerah itu.

Penolong Pegawai  Veterinar, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Bahagian Sarikei, Mathew Joan Sigai berkata,,pihaknya telah memberi suntikan vaksinasi anti-Rabies terhadap anjing-anjing dalam kawasan 10 kilometer radius daripada ketiga-tiga anjing yang positif Rabies itu.

"Sekarang kerja-kerja vaksinasi terhadap anjing-anjing sudah selesai," katanya kepada Bernama di sini. – Bernama