Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Kuala Lumpur, Khirudin Drahman berkata, pihak bomba menerima panggilan kecemasan berkaitan kejadian tersebut pada pukul 2.47 pagi.

“Seramai 34 anggota bomba beserta enam jentera dan sebuah kenderaan Unit Kecemasan Perkhidmatan Penyelamat Perubatan (ERMS) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gombak Selatan, BBP Jinjang, BBP Hang Tuah, BBP Keramat dan BBP Wangsa Maju telah dikejarkan ke tempat kejadian.

“Setibanya di lokasi, anggota mendapati terdapat tiga buah rumah yang tidak berpenghuni serta sebuah rumah kedai dua tingkat yang sedang terbakar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Khirudin menambah, tiga rumah tersebut musnah sepenuhnya dalam kejadian tersebut manakala rumah kedai itu pula musnah sebanyak 70 peratus.

“Kebakaran berjaya dikawal kira-kira dua jam kemudian pada pukul 4.55 pagi oleh anggota bertugas.

“Tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian berkenaan,” ujarnya.

Punca dan anggaran kerugian masih berada dalam proses siasatan. - K! ONLINE