Dalam kejadian kira-kira pukul 6 pagi itu, sebuah bot tongkang yang sedang berlabuh pada kedudukan satu batu nautika dari kawasan perkampungan air dibawa ombak sehingga merempuh tiga kediaman di Kampung Pukat Tanjung Batu terbabit.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Fadil Marsus berkata, seramai 24 penduduk kehilangan tempat tinggal akibat kejadian itu.

"Pada pukul 6.30 pagi telah berlakunya ribut di sekitar kawasan perairan di daerah ini. Sebuah bot tongkang yang berlabuh di kawasan perairan dibawa ombak lalu merempuh kawasan perkampungan air.

"Rempuhan itu telah menyebabkan tiga buah rumah atas air ranap dengan 24 penduduk hilang tempat berteduh. Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan," katanya di sini hari ini.

Fadil berkata, ketika kejadian terdapat pemandu rakyat tempatan di dalam tongkang itu tetapi gagal mengawal bot berkenaan daripada merempuh kediaman mangsa.

"Kerosakan kediaman melibatkan kerugian kira-kira RM30,000," jelasnya. - K! ONLINE