Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Seremban 2, Roszaidi Abdol Samad berkata, kejadian berlaku semasa kereta tersebut dalam perjalanan dari Sunway, Petaling Jaya, Selangor menuju ke Port Dickson kira-kira pukul 8 pagi.

"Menurut saksi yang juga penumpang kereta, mereka dalam perjalanan untuk bercuti di Port Dickson. Kemalangan berlaku apabila kereta mereka merempuh sebuah treler dari arah belakang.

"Pemandu Proton Saga, Muhammad Shazwan Mohd. Zawawi, 22, tersepit di tempat duduk pemandu. Kaki serta tangannya patah," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Roszaidi berkata, seorang lagi penumpang Nur Muhammad Ilahi Jaafar, 22, turut cedera parah, manakala seorang lagi remaja dikenali sebagai Alisa, 19, dilaporkan koma di Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ).

Jelas beliau, dua lagi penumpang iaitu remaja lelaki berusia 21 dan remaja perempuan berumur 19 tahun cedera ringan dan dirawat sebagai pesakit luar di HTJ, manakala pemandu lori treler tidak cedera.

Katanya, seramai lapan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Seremban 2 dan lapan lagi dari Balai Bomba dan Penyelamat Nilai bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan pada pukul 8.01 minit pagi.

"Anggota bomba mengambil masa kira-kira 30 minit untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit dengan menggunakan peralatan penyelamat khas," katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Negeri Sembilan, Superintendan Ibrahim Mohd. Abdul Kadir berkata, kes kemalangan itu disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Siasatan awal mendapati treler itu memperlahankan kenderaan apabila tiba di lokasi kejadian kerana terdapat kemalangan jalan raya lain berlaku di hadapan.

"Kemudian datang sebuah Proton Saga dari arah belakang yang sama melanggar bahagian belakang treler tersebut," katanya. - K! ONLINE