Hakim Datuk Vazeer Alam Mydin Meera melepaskan Liew Kai Cheng, 31, Hoang Thi Quynh, 28, dan Tan Lai Kim, 51, selepas mendapati pihak pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan pada akhir kes pembelaan. 

Khai Cheng, Thi Quynh dan teman wanita Kai Cheng iaitu Thi Quynh, warga Vietnam didakwa mengedar dadah 23.41 gram (g) iaitu heroin seberat 21.96g dan monoacetylmorphines 1.45g di Jalan Melaka Raya 1, Taman Merdeka Raya, Bandar Hilir pada 12.30 tengah malam, 24 Okt 2015. 

Kesemua mereka didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.

Dalam penghakimannya Vazeer Alam berkata, mahkamah mendapati siasatan polis terhadap kes berkenaan seharusnya mengesan cap jari dan Asid Deoksiribonukleik (DNA) ketiga-tiga tertuduh pada bungkusan bagi mengenal pasti pemilik dadah.

Sebanyak 13 saksi pihak pendakwaan dan empat saksi pihak pembelaan memberi keterangan sepanjang perbicaraan kes itu.

Tertuduh diwakili peguam Mohamad Kamarulzaman Jusoh manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Shazrill Ghazali. - Bernama