Anggota Parlimen Kota Belud itu berkata projek berkenaan melibatkan kerja tebatan banjir dan mendalamkan tiga sungai utama di daerah ini iaitu Sungai Abai, Sungai Tempasuk dan Sungai Kadamaian.

"Fenomena banjir di Kota Belud menjadi luar biasa susulan kejadian gempa bumi pada 2015.

"Kejadian itu menyebabkan Kota Belud menjadi seperti tadahan banjir, dengan paras air meningkat 20 peratus sejak gempa bumi itu menyebabkan daerah ini mengalami banjir yang teruk," katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat khas banjir Kota Belud di sini, hari ini.

Abdul Rahman berkata peruntukan sebanyak RM20 juta daripada RM27 juta telah diluluskan kerajaan pusat bagi kerja-kerja tebatan banjir untuk jangka masa pendek manakala RM50 juta daripada RM140 juta diluluskan untuk kerja tebatan jangka masa panjang.

Beliau berkata projek ketiga pula melibatkan projek mendalamkan sungai dengan pengorekan tanah yang mengalir dari kawasan tanah tinggi di Ranau akibat gempa bumi.

Pegawai Daerah Kota Belud Gari Itam yang juga Pengerusi Pengurusan Bencana Daerah berkata pengorekan tanah dilaksanakan oleh syarikat swasta sebagai langkah cepat untuk membersihkan sungai berkenaan daripada tanah yang mengalir dari tanah tinggi itu.

Beliau berkata untuk tahun ini sahaja, Kota Belud mengalami banjir kilat kira-kira 70 kali dengan pemindahan mangsa banjir dijalankan sebanyak enam kali.

Sementara itu, Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Usukan berkata kerjasama semua pihak penting dalam menghadapi fenomena itu dan ia tidak harus dipolitikkan.

"Kita melihat UMNO dan Barisan Nasional turun untuk membantu mangsa banjir, bukan untuk menunjuk tetapi kita minta semua parti untuk membantu dan menunjukkan keprihatinan kepada rakyat," katanya selepas mesyuarat khas itu.

Mesyuarat itu, yang dipengerusikan Gari, turut dihadiri Pembantu Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah Datuk Musbah Jamli  yang juga ADUN Tempasuk dan ADUN Kadamaian Jeremy Malajad. - Bernama