Tiga mangsa yang maut dalam kejadian kira-kira pukul 2.30 pagi itu ialah dua wanita dikenali sebagai Lim Siew Kee, 61, dan Lai Moon Ching, 25, manakala seorang lagi penumpang lelaki yang maut masih belum dikenal pasti identitinya.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Zaharudin Rasip berkata, bas ekspres dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menuju ke Singapura itu dipercayai bergesel dan merempuh bahagian tepi sebelah kanan treler terbabit menyebabkan separuh daripada bahagian hadapan bas tersebut rosak teruk.

“Bas itu membawa 25 penumpang dan dua orang pemandu. Bagaimanapun hanya 14 daripada mereka mengalami kecederaan ringan dan dibawa ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah Muar dan Hospital Sultanah Nora Ismail Batu Pahat bagi mendapatkan rawatan lanjut,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau berkata, tiga penumpang bas tercampak keluar dan seorang daripada mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian manakala dua lagi penumpang meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital,” katanya.

Zaharudin berkata, pemandu bas berusia 54 tahun mengalami kecederaan ringan manakala pemandu treler berusia 28 tahun serta 10 lagi penumpang tidak mengalami sebarang kecederaan. - Bernama