Dalam kejadian kira-kira pukul 4.50 pagi itu, tiga penjenayah yang menyamar sebagai anggota polis telah melarikan sebuah kereta jenis Honda Insight, sebuah komputer riba, barang kemas serta beberapa buah telefon bimbit.

Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor berkata, pihaknya menerima laporan berkaitan kejadian kira-kira pukul 7.13 pagi dan sepasukan anggota bersama pegawai dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam telah ke rumah mangsa.

Beliau berkata, ketika anggota polis sampai di tempat kejadian kesemua mangsa berusia lingkungan 20 hingga 50 tahun masih bergari.

"Siasatan awal mendapati ketika kejadian mangsa yang berada di rumah bersama tiga orang anaknya telah didatangi oleh tiga lelaki yang menyamar sebagai anggota polis berpakaian preman.

"Ketiga-tiga suspek telah mengarahkan mangsa untuk membuka pintu untuk melakukan pemeriksaan kononnya bagi mencari seorang penjenayah,"katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Shafien Mamat.

Beliau berkata, siasatan lanjut mendapati ketiga-tiga penjenayah telah melarikan sebuah kereta jenis Honda Insight, sebuah komputer riba, barang kemas serta beberapa buah telefon bimbit.

"Nilai keseluruhan barangan tersebut masih lagi dalam siasatan dan usaha memburu ketiga-tiga penjenayah berusia lingkungan 30-an itu sedang giat dilakukan,"ujarnya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana samun berkumpulan dan bersenjata. - K! ONLINE