Kesemua suspek lelaki berusia 18 hingga 44 tahun itu ditahan antara pukul 1.30 hingga 1.40 pagi.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd. Salleh berkata, terdahulu dua mangsa warga Bangladesh itu disamun ketika menunggang basikal berhampiran tanah perkuburan Cina di Jalan Kenangan Meru Tambahan, di sini, pukul 5 petang semalam.

"Dalam kejadian itu, dua suspek telah menahan mereka sebelum menumbuk di bahagian badan dan tangan.

"Suspek kemudiannya bertindak melarikan dua buah basikal, telefon bimbit dan wang tunai berjumlah RM225," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Kata beliau, susulan kejadian tersebut, pihaknya berjaya menahan ketiga-tiga suspek dalam serbuan di sekitar Jalan Meru pagi tadi.

Nurulhuda menambah, pihaknya juga berjaya menemui semula sebuah telefon bimbit dan dua buah basikal yang disamun suspek.

"Semakan mendapati ketiga-tiga lelaki berkenaan mempunyai beberapa rekod jenayah lampau berkaitan kekerasan, curi dan dadah.

"Ketiga-tiga suspek kini direman selama empat hari bermula semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana samun," katanya. - K! ONLINE