Presiden Pafa, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, tiga pemain berkenaan akan terus dikekalkan bagi memantapkan skuad The Bos Gaurus.

"Ada pihak cuba mewujudkan cerita mengenai pemain import kita kononnya mereka tidak akan disambung kontrak dan Perak akan mencari pemain import baharu.

"Saya kira perkara ini belum lagi diputuskan dan kalau mengikut apa yang saya tahu tiga pemain import ini dikekalkan. Pafa sama sekali tidak pernah mengeluarkan kenyataan tersebut," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan majlis berkhatan anjuran Pusat Khidmat Parlimen Tambun di Sekolah Rendah Agama Rakyat (SRAR) Nurul Islamiah Taman Meru 2C di sini hari ini.

Ahmad Faizal berkata demikian bagi mengulas khabar angin yang tersebar di media sosial kononnya khidmat tiga pemain kontrak itu tidak akan disambung dan Pafa akan mencari pemain import baharu.

Sementara itu, mengulas mengenai pelantikannya sebagai Presiden Pafa yang baharu pada Kongres Luar Biasa (EGM) Pafa malam tadi, beliau percaya dapat mengemudi Pafa dengan baik hasil bantuan semua pihak termasuk Timbalan Presiden, barisan exco dan ahli-ahli gabungan persatuan bola sepak di daerah-daerah.

Ujar beliau, jawatan baharu itu juga tidak akan memberi masalah kepadanya untuk mentadbir kerajaan negeri kerana selaku presiden tugas beliau lebih kepada menentukan dasar dan memastikan sumbangan mahupun tajaan untuk pasukan dapat dipertingkatkan.

"Saya ingin tegaskan bahawa saya mahu melihat persatuan bola sepak daerah-daerah untuk lebih aktif dan saya telah memberi cabaran kepada mereka jika kita telah diberi peluang untuk mentadbir atau memimpin persatuan bola sepak daerah, mestilah aktif dan jika tidak aktif jangan pegang jawatan," katanya.

Pada EGM Pafa malam tadi, selain Ahmad Faizal yang dilantik sebagai Presiden Pafa, Setiausaha Kerajaan Negeri, Zainal Azman Abu Seman turut dilantik sebagai Timbalan Presiden Pafa yang baharu manakala Datuk Adly Shah Ahmad Tah pula dikekalkan sebagai pengurus pasukan. - K! ONLINE