Dalam Ops Samseng Jalanan bermula pukul 2.30 pagi itu, mereka yang ditahan adalah lelaki berusia di antara 16 hingga 19 tahun.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, hasil risikan dan pemerhatian pihaknya di lokasi mendapati terdapat beberapa kumpulan yang menunggang motosikal secara melulu dan berbahaya.

"Mereka bermula dari Plaza Tol Bagan Ajam menghala ke tempat pusingan-U berdekatan Pelabuhan Pulau Pinang dengan melakukan beberapa pusingan. 

"Polis telah mengekori kumpulan penunggang motosikal tersebut sebelum kesemua mereka berhenti di kawasan rehat dan rawat Bagan Ajam dan ditahan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata, siasatan lanjut mendapati salah seorang suspek masih bersekolah dalam tingkatan empat serta dua suspek merupakan tukang gunting rambut dan pekerja kedai makan.

Menurutnya, suspek ditahan bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - K! ONLINE